Saya
mengalu-alukan tuan/puan ke laman web kami. Kami merasa amat
bangga kerana tuan/puan berminat untuk melayari laman web
Majlis Daerah Luar Bandar Sibu yang merupakan antara majlis
daerah terbesar di Sarawak.
Dengan
adanya laman web ini dapatlah orang ramai, melalui kemudahan
ICT, mengetahui sedikit sebanyak tentang Majlis ini serta
maklumat-maklumat awam selain aktiviti-aktiviti yang dirancang
dan dijalankan sepanjang tahun. Selain daripada itu, orang
ramai juga berpeluang untuk mengemukakan apa sahaja saranan,
kritikan membina dan maklumbalas supaya kami di Majlis ini
dapat secara berterusan memperbaiki segala kelemahan dan seterusnya
mempertingkatkan kualiti perkhidmatan demi kesejahteraaan
penduduk luar bandar di Daerah Sibu dan Selangau.
Kawasan
bidangkuasa Majlis Daerah Luar Bandar Sibu merangkumi Daerah
Sibu dan Daerah Selangau. Selain itu, terdapat di dalamnya
tiga (3) kawasan parlimen iaitu Bandar Sibu, Lanang dan Selangau
serta enam (6) kawasan Dewan Undangan Negeri yakni Dudong,
Tamin, Bawang Assan, Nangka , Bukit Assek dan Kakus. Sesetengah
daripada kawasan pilihanraya tersebut adalah secara keseluruhan
manakala yang lain hanya sebahagian sahaja.
Dengan
kawasan bidangkuasa yang begitu luas dan pendalaman serta
sumber Majlis yang terhad, kami menghadapi beberapa masalah
dan kekangan-kekangan tertentu dalam melaksanakan program
pembangunan serta tanggungjawab Majlis yang lain.
Oleh
itu selaku Setiausaha/Chief Administrative Officer kepada
Majlis ini saya akan berusaha sedaya upaya untuk menggembleng
setiap tenaga dan sumber yang ada untuk melakukan dan memberikan
perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat setempat. Dalam
pada itu, saya juga berharap agar semua pihak sanggup tampil
membantu dalam satu bentuk kerjasama yang pintar, utuh dan
menguntungkan semua. Bak kata pepatah, "Berat sama dipikul,
ringan sama dijinjing" - "Bulat air kerana pembentung,
bulat manusia kerana muafakat".
Sekian.
Terima kasih.
ELVIS
AK. DIDIT
Setiausaha,
Majlis Luar Bandar Sibu